Link Within

Blog Widget by LinkWithin

MESTI BACA! Amalan Pengajaran dan Pembelajaran Ke Arah Peningkatan Prestasi

>> Sabtu, 31 Januari 2009

AMALAN PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN

KE ARAH PENINGKATAN PRESTASI

(Suatu pengalaman untuk dikongsi)

Oleh : Hj.Samsudin bin Md Noor

Guru Cemerlang Pendidikan Islam Gred Khas ( JUSA ) C

SMK Model Khas Baling, Kedah

Pendahuluan

Peranan guru bukan sekadar memindah ilmu kepada murid-muridnya tetapi dalam konteks yang lebih luas iaitu sebagai muallim, murabbi, muaddib, mursyid, pendidik, pembimbing, pengajar, pengurus, pengarah, penyelia, pengelola, penyelidik, pengkaji, pakar rujuk, agen perubahan, agen sosialisasi, dan pembina masa depan negara dan sebagainya, bertujuan membina murid menjadi modal insan yang berguna kepada diri, keluarga, masyarakat dan negara serta agama.

Perancangan Awal

Perancangan strategik lima tahun dan tahun semasa perlu diadakan supaya apa yang dicadangkan untuk dilaksanakan sebagai panduan pelaksanaan sepanjang tahun dan strategi masa hadapan.

Perancangan strategik perlu dimasukkan 'target' atau pelunjuran yang hendak dicapai, biasanya 'target' itu adalah lebih baik daripada tahun sebelumnya. Perkara yang lebih penting untuk diutamakan dalam perancangan itu ialah aktiviti-aktiviti yang hendak dilaksanakan bagi mencapai target. Aktiviti-aktiviti tersebut merangkumi program-program pengajaran dan pembelajaran berkesan, kelas tambahan, kelas pemulihan, kelas pengukuhan dan pengayaan, projek-projek akademik dan kegiatan ko-korikulum.

Perancangan awal yang perlu dilakukan iaitu penyediaan bahan-bahan pengajaran dan pembelajaran selain daripada buku teks seperti nota-nota tambahan, bahan-bahan 'power points', CD, VD, dan bahan bantuan mengajar bagi mempermudahkan murid memahami sesuatu tajuk. Guru sepatutnya membuat pengukuran masa bagi sesuatu topik yang hendak diajar, ada topik yang diselesaikan dalam satu masa dan ada yang perlu lebih dari satu masa.

Perancangan kemudahan pembelajaran murid, seperti keadaan kelas yang lebih kondusif, kemudahan peralatan kegunaan pelajar. Jika tiada masalah kertas-kertas, pelbagai jenis pen yang dakwatnya berbagai warna , yang boleh memberi keseronokan kepada murid untuk belajar disediakan oleh guru, kemungkinan peruntukan kewangan sekolah boleh digunakan untuk tujuan ini atas budibicara pentadbir sekolah. Keadaannya menjadi lebih baik jika guru berusaha adakan sebuah Bilik Khas Pendidikan Islam (jika ada bilik yang kosong),

Perancangan pengajaran dan pembelajaran sepanjang tahun seharusnya mengikut agihan yang telah ditentukan dan guru boleh mengambil daya anisiatif supaya sukatan pelajaran dapat diselesaikan lebih awal. Guru boleh menggunakan masa-masa baki untuk tujuan pengayaan, pengukuhan, pemurnian, pemulihan, peningkatan kemahiran menjawab dan sebagainya sebelum tiba masa peperiksaan yang sebenar.

Siapa Guru Di Hati Murid

Usaha menarik minat murid mendampingi guru adalah satu langkah yang cukup berkesan untuk menarik mereka menyukai mata pelajaran yang diajar. Guru yang memiliki penampilan diri yang baik akan memberi bonus kepadanya kerana secara tidak langsung ia menjadi idola kepada murid terutama murid di kelas yang beliau ajar.

Pandangan pertama iaitu pakaian yang sentiasa kemas pada setiap hari persekolahan, kesungguhan dalam pekerjaan, dedikasi dalam menyampaikan ilmu, bersikap adil kepada semua murid, sentiasa bertimbangrasa dan penyayang, mesra dan sentiasa nampak periang, sentiasa tenang dan berhati-hati dalam tindakan supaya tidak tersalah langkah, beretika dan boleh diteladani, berwatak tegas tetapi amat berhemah dalam tindakan, sentiasa memelihara disiplin diri, bersifat cekal dan sabar, berprinsip tetapi bersifat terbuka untuk menerima berbagai pandangan, berilmu dan mahir dalam bidang kerjayanya, sentiasa mengharga masa, 'komited' dengan tugas, memiliki idea-idea yang bernas, kreatif dan inovatif, berwibawa, sedia berkorban masa dan wang ringgit serta berketrampilan adalah antara ciri-ciri personaliti yang boleh menawan hati murid-murid.Kekemasan tempat atau bilik guru sebagai tempat untuk guru melaksanakan kerja-kerja rutin juga menjadi perhatian murid. Mereka begitu gemar datang berurusan dan berjumpa untuk menyelesaikan berbagai masalah atau meminta guru menilai tahap pencapaiannya jika tempat itu kelihatan kemas dan tersusun yang mencerminkan perwatakan guru yang sebenar.

Buku rekod sebagai buku penting yang perlu disediakan dengan kemas dan rapi serta lengkap menjadikan guru berkenaan mendapat keyakinan yang dihati pentadbir dan murid-muridnya. Begitu juga dengan kekemasan kerja-kerja yang lain yang boleh dinilai baik oleh murid, rakan sejawatan dan pentadbir sebagai guru yang memiliki komitmen yang tinggi. Guru boleh membuat berbagai program di luar bilik darjah yang bertujuan merapatkan diri dengan mereka. Antaranya, membuat jamuan makan sekali atau dua kali setahun, membawa mereka ke tempat rekriasi melalui program Pendidikan Islam, lawatan ke tempat-tempat tertentu, berkunjung ke rumah salah seorang murid, terutama yang sakit, program menelaah bersama di waktu petang dan sebagainya.Aktiviti membaca yasin, solat hajat sebulan sekali dan lebih kerap di masa hampir dengan tarikh peperiksaan menyebabkan mereka terasa seolah-olah guru itu mengambil berat dan prihatin ke atas mereka.

Kebijaksanaan berkomunikasi dengan murid-murid, memahami perasaan mereka melalui pendekatan kesedaran emosi seperti mengambil berat tentang permasalahan mereka, bersimpati dan empati, cuba penyelesaian kekusutan yang berlaku ke atas mereka, dan sebagainya akan mendekatkan lagi mereka dengan guru. Melalui cara ini murid mudah mematuhi segala yang dihajati guru.

Gerakerja guru yang menampakkan kecemerlangan dalam melaksanakan tugas juga dapat mempengaruhi minat murid terhadap guru. Guru sewajarnya memiliki keperibadian yang tinggi, berpengetahuan luas tentang tajuk yang hendak diajar, serta berkemahiran dalam pengajaran dan pembelajaran, kemerlangan dalam mengurus bilik darjah, dan menampakkan personaliti sebagai guru yang berwibawa. Oleh itu kemahiran dalam pengajaran dan pembelajaran yang memberangsangkan, bijak mengurus masa secara optimum, berupaya meningkatkan prestasi murid, dan bijak mengawal disiplin akan meningkatkan keyakinan murid terhadap kemampuan guru.

Guru Dan Bilik Darjah

Pada peringkat awal, murid-murid akan membuat berbagai tanggapan atau persepsi terhadap guru yang akan masuk ke kelas mereka. Mungkin murid-murid sudah tahu tentang latarbelakang guru itu secara tidak langsung sebelum ini, kerana mereka sudah dua atau tiga tahun belajar di sekolah ini cuma belum pernah belajar dengannya. Sebaliknya terdapat juga murid langsung tidak tahu tentang guru itu, kerana dia mungkin murid yang baru di sekolah itu atau murid ini hanya tahu guru yang mengajarnya sahaja.

Berkenalan dengan murid yang akan diajari adalah suatu yang tidak boleh diabaikan kerana pernilaian murid ke atas diri guru pada hari pertama akan diterjemahkan terus ke dalam minda mereka tentang perwatakan guru itu. Murid bertanggapan guru itu garang jika guru itu bermula dengan watak tegas. Murid juga mungkin bertanggapan guru ini boleh dipermainkan kerana perwatakan yang tersangat lembut atau tidak serius.

Semasa inilah guru perlu memainkan peranan yang cukup bijak bagi menawan hati mereka seperti memuji mereka dengan kata-kata yang menggambar guru itu amat sayang kepada mereka. Ketika itu juga guru berusaha dengan kata-kata bersemangat dan menampakkan kesungguhan untuk menjadikan mereka murid yang berjaya, murid yang baik, murid yang memiliki keyakinan diri yang tinggi. Beberapa peraturan yang mesti dipatuhi yang menampakkan ketegasan tetapi berhemah serta memiliki sifat keterbukaan dalam menerima pandangan serta bersedia melakukan perubahan.

Guru memperincikan bahan-bahan yang perlu disediakan oleh mereka dan bahan yang akan disediakan oleh guru sendiri supaya murid mengetahui bahawa gurunya bersedia untuk mengajar mereka. Jika sekiranya menjadi guru kelas berkenaan maka kesediaan guru untuk menjadikan kelas ini lebih ceria dan menarik menjadikan murid-murid berkeyakinan terhadap gurunya itu. Mengenali nama setiap murid di kelas tersebut adalah satu pendekatan yang baik. Murid akan menampakkan lebih mesra jika disebut nama mereka semasa berkomunikasi. Berbagai cara yang boleh dilakukan oleh guru untuk mengingati 'nama-nama mereka seperti bertanya nama setiap kali hendak bercakap dengan mereka, atau memasukkan foto-foto mereka dalam komputer peribadi untuk diingat setiap hari. Dalam masa yang singkat guru dapat mengingati semua nama mereka.

Guru juga boleh menyatakan beberapa ganjaran yang akan diberikan kepada murid jika mereka bersedia untuk memberi kerjasama semasa pengajaran dan pembelajaran berlaku atau pencapaian kemajuan murid bertambah baik dari masa semasa, seperti berjanji untuk bawa mereka ke tempat perkelahan atau lawatan ke mana-mana atau berjanji untuk menghadiahkan sesuatu. Guru sewajar menunaikan janji-janji itu supaya murid tidak kecewa dengan sikap guru yang dianggap berpura-pura itu. Saya pernah berjanji untuk membuat jamuan makan kepada mereka, membawa mereka ke tempat rekriasi, memberi hadiah tertentu, dan saya tunai setelah mereka tunjukkan peningkatan.

Pengajaran Dan Pembelajaran

Objektif pengajaran dan pembelajaran akan tercapai apabila murid mengetahui dan memahami tajuk yang diajar, kemudian mampu menganalisa dan membanding beza serta membuat penilaian serta mampu untuk mengaplikasi dalam situasi yang tertentu. Guru perlu memahami modul pengajaran dan pembelajaran yang bermula dengan set induksi, perkembangan isi mengikut aras serta menggunakan kaedah dan teknik yang sesuai, penerapan prinsip-prinsip Islam Hadhari, rumusan, tugasan dan ulasan kendiri. Biasanya apabila loceng berbunyi, guru akan masuk ke bilik darjah berkenaan atau murid –murid datang ke Bilik Pendidikan Islam. Ketika ini guru menunjukkan sikap kesungguhan untuk masuk ke kelas itu, dengan gaya berjalan yang laju serta membawa beberapa bahan yang diperlukan atau menjemput mereka supaya bergerak pantas ke Bilik Pendidikan Islam.

Apabila melangkah masuk teruskan memberi salam, mereka bangun dan membaca doa dengan ikhlas dan khusyuk supaya mendapat keberkatan Allah SWT. Selepas itu, guru meminta mereka bersihkan kelas, kemaskan diri, meja, kerusi, dan apa sahaja yang kelihatan tidak menceriakan sebagai suatu cara untuk mendidik dan memperadabkan mereka sebelum mereka menerima pelajaran.

Guru bertanyakan mereka, seperti 'apa khabar semua', 'ada yang sakit atau yang tidak sihat','siapa yang ada apa-apa masalah,' 'ustaz nampak semuanya seronok, ini yang menjadikan ustaz pun seronok hendak mengajar'. Pertanyaan-pertanyaan dan kata-kata begini adalah sentuhan awal supaya mereka seronok dengan kedatangan guru itu. Guru memuji dengan perkataan, 'bagus' supaya murid merasakan mereka dihargai, dan cuba berjenaka dengan mereka seperti memberi satu teka-teki dan sebagainya.

Guru memulakan pelajaran dengan menunjukkan sesuatu, atau menceritakan satu cerita pendek atau apa sahaja sebagai set induksi. Apabila sesuatu tajuk disentuh, guru cuba bertanya tentang beberapa pengalaman mereka yang ada kaitan dengan tajuk berkenaan. Murid-murid membuka buku teks bagi tajuk berkenaan, nota tambahan yang disedikan guru sebagai 'hand out', dan kertas A4 untuk dibuat peta minda. Guru juga mempamerkan bahan maklumat melalui 'slide' yang ditayang dengan bantuan 'LCD' atau menggunakan teknik-teknik yang lain.

Guru berbincang dengan murid secara bersahaja, tentang tajuk yang dipelajari, murid berbincang sesama mereka, membuat peta minda, bersoal jawab, guru memberi persoalan untuk diselesaikan oleh murid sendiri, murid membuat aktiviti kumpulan, guru membuat penilaian mengikut aras, dan berbagai aktiviti lain yang boleh merangsangkan minat murid. Di samping itu guru sentiasa berjenaka dan memberi perangsang serta memuji sebagai penghargaan bagi semua kerja yang sedang mereka lakukan. Guru sepatutnya tidak menyampaikan ilmu secara sehala, dari awal hingga akhir kerana teknik ini ternyata membosankan murid.Peranan otak kiri dan otak kanan perlu diseimbangkan. Otak kiri memberi penekanan kepada bahasa, rumusan matematik, lojik, urutan, nombor, analisi dan lirik lagu. Otak kanan memberi penekanan kepada bentuk dan corak, maipulasi ruang, imiginasi, angan-angan, dan rentak lagu. Maka peranan guru mempastikan kedua-dua otak itu berfungsi dengan baik.

Apabila mereka seronok dengan pembelajaran seperti ini menjadikan mereka terasa masa berada di kelas terlalu sebentar dan kadang-kadang mereka akan terus berada di kelas ini walaupun loceng telah berbunyi kerana kemungkinan selepas ini tiada guru yang datang ke kelas mereka.Pendekatan cara bermain atau berintraksi bersama mereka semasa pengajaran dan pembelajaran dijalankan menjadikan mereka semakin berani mengeluarkan berbagai idea secara spontan dan berani bertanya tentang perkara-perkara yang mereka tidak faham sebab mereka tidak merasa tertekan dan hati dan perasaan mereka sentiasa tenang. Mereka sendiri memahami apa yang terkandung dalam buku, guru hanya bertindak sebagai fasilitator yang hanya menekan aspek-aspek tertentu dalam kandungan itu.

Murid-murid ternyata lebih gemar membuat peta minda setelah mereka dilatih untuk membuatnya berkali-kali dan seolah-olah menjadi 'kegilaan' kepada mereka. Kelebihan membuat peta minda ialah mereka dapat menguasai semua isi yang terkandung dalam buku atau nota, dan mereka hanya menggunakan bahasa dan ayat-ayat sendiri ketika menjawab soalan, tidak bergantung ayat-ayat yang terdapat dalam buku. Oleh itu minda mereka akan lebih terbuka, di samping melatih mereka berfikiran kreatif dan kritis. Kadang-kadang guru berhadapan dengan murid yang lambat faham akan sesuatu tajuk atau isi kandungan. Pendekatan yang digunakan antaranya menjadikan rakannya sebagai 'guru' untuk menjelaskan perkara tersebut, menggalakkan pelajar berkenaan segera bertanya rakannya yang berdekatan atau mereka akan bangun bertanya rakan yang lebih meyakinkannya. Murid berkenaan tidak segan silu untuk terus bertanya dengan guru. Guru mengulangi semula dengan pendekatan yang lebih mudah atau membina soalan untuk dibincang dalam kumpulan setelah mengenalpasti ada murid yang masih belum faham kandungan tersebut.

Pendekatan-pendekatan yang lebih mudah, meringankan bebanan murid dan meningkatkan minat untuk terus menyelesaikan tugasan bagi tajuk berkenaan. Contohnya, murid yang sukar menghafaz ayat-ayat al-Quran bagi tingkatan empat, guru memberi kebebasan kepada murid bertemu dengan guru untuk menghafaz ayat-ayat itu di hadapan guru, guru boleh melantik murid-murid yang cemerlang menjadi naqib untuk mendengar hafazan murid berkenaan, kadang-kadang terdapat murid yang ingin menghafaz sedikit demi sedikit dan akhirnya semua ayat tersebut telah berjaya di hafaz atau pun menggunakan pelbagai pendekatan yang disukai oleh murid berkenaan dan guru sepatutnya melayan kehendak mereka.

Bagi murid-murid yang tidak menguasai bacaan al-Quran, guru boleh menggunakan pendekatan yang lebih berhemah. Contohnya, menjemput mereka berkumpul di suatu bilik yang tidak disertai oleh murid-murid lain. Guru memberi semangat, perangsang, serta mencerita kelebihan-kelebihan apabila boleh membaca al-Quran. Guru meminta pandangan mereka tentang cara yang kehendaki supaya mereka boleh mereka lakukan dan matlamatnya mereka boleh membaca al-Quran. Guru juga memberi cadangan, misalnya, guru memberi jaminan kepada mereka bahawa mereka boleh membaca al-Quran jika mereka mengikuti teknik dan kaedah yang akan di bawa oleh gurunya itu tetapi mereka hendaklah melakukan latihan berterusan di rumah atau di luar bilik darjah. Gabungan kaedah Iqrak, Qiraati dan Hattawiyah boleh digunakan tetapi guru hendaklah sentiasa memantau perkembangan mereka dengan memberi galakan, pujian, ganjaran, penghargaan berterusan. Murid-murid ini kadang terasa malu disebabkan kelemahan mereka. Oleh itu guru tidak perlu menggunakan kaedah yang menyebabkan mereka menjadi malu, seperti menyuruhnya membaca dengan kuat di hadapan kelas, sebaiknya mereka di bawa ke tempat lain atau membaca dalam kumpulan yang sama atau membaca secara beramai-ramai.

Jika mampu selalu berjumpa mereka untuk berbincang dan sekali sekala jemput mereka makan di kantin dan sebagainya supaya mereka dapat merasai bahawa guru itu benar-benar untuk membantu mereka menguasai bacaaan al-Quran. Setelah mereka berjaya membaca maka berilah penghargaan berupa sijil di perhimpunan sekolah. Apabila mereka merasakan seronok belajar Pendidikan Islam maka mereka akan berusaha untuk memahami tajuk yang sedang dipelajari. Di samping galakan dan motivasi guru yang berterusan. Dengan wajah keriangan yang ditunjukkan oleh guru, serta menampakkan kesayangan guru itu terhadap murid, menjadikan mereka terasa bersalah jika mereka tidak mendengar nasihat-nasihat yang dilontarkan oleh guru.

Guru juga hendaklah menunjukkan ketegasan semasa pengajaran dan pembelajaran berlangsung, tetapi ketegasan itu dilakukan dengan senda gurau, sambil mengenakan sedikit denda terhadap mereka, dan mereka bersedia untuk menerima dengan lapang dada seperti menarik sedikit telinga sebagai menandakan guru tidak gemar dengan perlakuan tersebut. Murid yang sememangnya sayang kepada gurunya itu, dengan cepat memohon maaf, dan guru terus maafkan dan letakkan tangan dibelakang mereka atau memuji mereka supaya mereka tidak merasakan sesuatu yang boleh menjejaskan penumpuan terhadap pelajaran yang sedang dihadapi itu. Denda atau hukuman yang boleh menjatuhkan maruah dan memalukannya sepatutnya dielakkan supaya murid berkenaan tidak tertekan, akibatnya murid berkenaan mungkin membuat tindakan negatif seperti tidak datang ke sekolah, merosakkan harta benda sekolah dan sebagainya.

Penggunaan alatan bantuan mengajar, model-model tertentu, atau kepelbagaian kaedah yang lebih kepada berpusatkan murid. Pendekatan, modul atau kaedah seperti Pembelajaran Masteri, Pembelajaran Kerjasama, Kontruktivisma, Pembelajaran Kontektual, adalah di antara kaedah yang boleh digunakan mengikut kesesuaian tajuk, kemampuan murid, dan kebijaksanaan guru mengaplikasikannya supaya dapat menghasilkan pembelajaran yang memberangsang minda mereka. Kesannya, murid mudah faham dan minat mereka untuk meneruskan pembelajaran dan mereka tidak menunjukkan perlakuan yang bermaksud bosan dengan cara guru menyampaikan pengajaran.

Contohnya, tajuk cara menyempurnakan ibadah haji dan umrah. Model-model berbentuk replika seperti model kaabah, jamrah, tempat saei, tempat wukuf, Mina dan Muzdalifah serta Miqat Makani. Guru menggunakan beberapa murid untuk menunjuk cara, simulasi, main peranan dan sebagainya. Penggunaan pendekatan ini, murid akan lebih mudah faham dalam masa yang singkat.

Bagi meningkatkan pencapaian murid dalam bacaan dan tulisan jawi, maka tindakan yang boleh difikirkan ialah langkah pertama, mengadakan penilaian mudah untuk mengetahui tahap sebenar pencapaian murid berkenaan, bagi murid yang terlalu lemah, diperkenalkan huruf hijaiyah yang dipadankan dengan huruf rumi, kemudian ditingkatkan ke tahap mengenal suku kata hingga seterusnya murid boleh membaca kalimah mudah dan kalimah yang lebih dari dua sukukata hinggalah ke tahap boleh membaca ayat-ayat dan esei. Pendekatan mendekati murid adalah seperti yang telah dijelaskan perlu untuk menarik minat mereka menyintai jawi.

Memasang lagu-lagu nasyid atau zikir yang boleh menjadi halwa telinga mereka tetapi diperlahankan suaranya, supaya murid rasa terhibur dan kadang-kadang kandungan lagu itu memberi kesedaran dan keinsafan kepada mereka, juga dapat membantu meningkatkan keseronokan dan minat murid untuk meneruskan pembelajaran.

Kebiasaannya guru berhadapan dengan masalah apabila berada di kelas yang terlalu lemah dan kemungkinan terdapat empat atau lima murid yang tidak boleh membaca dengan baik dan yang lain pula bersikap malas, suka ponteng, tidak suka membuat tugasan yang diberikan oleh guru, suka tidur dan sebagainya menyebabkan guru terasa bosan untuk berhadapan dengan mereka. Sebagai guru yang telah diberikan amanah untuk mengajar di kelas yang berkenaan seharus mencari pendekatan yang boleh meningkatkan motivasi dan kecenderungan mereka untuk mengikuti pelajaran yang sedang diajar.

Guru sepatutnya mengelakkan diri daripada melakukan perkara-perkara yang boleh menambahkan kebencian mereka terhadap mata pelajaran yang diajar atau terhadap guru sendiri. Leteran yang berterusan, menyebut perkara-perkara negatif yang ada pada mereka seperti mengecap mereka sebagai pemalas, pengotor, kaki tidur dan sebagainya akan menghilangkan minat mereka untuk berada bersama guru itu. Pendekatan yang berkesan, murid-murid diberikan perhatian, dan pujian jika mereka melakukan sedikit perubahan ke arah kebaikan. Mulakan pelajaran dengan perkara yang cukup mudah, banyak memberi contoh-contoh, dekat dengan mereka ketika mengajar. Jika mereka tidak faham, cuba ulang bahagian itu melalui kaedah yang berbeza seperti memberi lambaran kerja, bimbing mereka untuk mendapatkan jawapan, gembirakan hati mereka, berjenaka, dan memberi tindak balas positif terhadap perlakuan dan pertuturan mereka.

Apabila mereka sudah menampakkan kecenderungan untuk belajar, teruskan memberi galakan, motivasi dan pengharapan yang baik, seperti kata-kata,'saya yakin murid kelas ini boleh lulus pelajaran ini dalam peperiksaan nanti, kerana ustaz sudah nampak ada peningkatan, ustaz seronok jika murid kelas ini berjaya'. InsyaAllah perubahan akan berlaku, sekurang-kurang guru dapat menjalankan tugas dengan sempurna dan berkesan di kelas berkenaan, tetapi amalan ini hendaklah dilakukan berterusan bukan secara sekali sekala. Yang lebih penting guru menunjukkan komitmen yang tinggi terhadap mereka.

Latihan, Penilaian Dan Pentaksiran

Aspek yang diberikan penekanan ketika membuat latihan dan menjawab peperiksaan ialah keikhlasan dalam melaksanakan tanggungjawab, bukan kerana terpaksa atau dipaksa atau melaksanakan sekadar melepas batuk di tangga, tidak menipu dengan cara meniru rakan secara menyalin semula jawapannya, belajar menerima hakikat iaitu menyatakan kemampuan sebenar supaya guru boleh membuat penambahbaikan, tidak malu untuk menyatakan kelemahan, sedia mendapatkan pertolongan rakan bagi meningkatkan kemahiran dan kefahaman. Akhirnya murid-murid dapat mendengar nasihat guru dan melaksanakan tugasan dengan baik.

Sebaik-baiknya, setiap tajuk yang dipelajari diberikan latihan untuk dilaksanakan di minit-minit terakhir dan menyambung tugasan itu di luar kelas atau di rumah sebagai kerja rumah. Guru menggalakkan murid menjawab latihan mengikut teknik jawapan yang betul dan jawapan yang dikemukakan itu adalah betul. Caranya, murid diminta berbincang dengan rakan-rakan sekiranya tidak yakin dengan jawapan yang diberikan itu. Nasihatkan mereka secara ikhlas supaya mereka tidak menyalin terus daripada jawapan rakannya itu. Berikan penekanan bahawa murid yang ikhlas dan yakin dengan pekerjaan akan mudah mencapai kejayaan dan keberkatan.

Menjawab soalan-soalan yang diberi oleh guru melalui perbincangan kumpulan juga satu teknik yang boleh membantu murid yang lemah. Setelah mendapat jawapan, masing-masing murid menulis jawapan tersebut. Kemudian ketua kumpulan akan menyemak semula jawapan setiap ahli kumpulan. Guru menunjukkan teknik dan kaedah menjawab soalan yang berkesan diperingkat awal lagi. Guru melatih sehingga mereka faham, kemudian latihan demi latihan mengikut teknik peperiksaan sebenar. Semua guru sepatutnya memahami teknik menjawab soalan peperiksaan awam (PMR dan SPM) supaya murid-murid dilatih sejak di tingkatan satu bagi PMR dan di tingkatan empat bagi SPM.

Setiap latihan murid direkod dalam buku rekod dengan memberi markah mudah iaitu A,A-,A+,B,B-,B+,C,C-,C+,D,dan E, rekod-rekod dipamerkan kepada mereka melalui 'LCD', supaya mereka dapat membezakan percapaian mereka dan membandingkan dengan pencapaian rakan-rakan mereka. Guru akan memberi nasihat dan bimbingan kepada pencapaian yang lemah, pencapaian yang masih tidak berubah atau yang menurun.

Bagi kelas yang lemah, guru perlu memperbanyakkan soalan-soalan pencapaian rendah dan cuba memberi satu jawapan contoh supaya mereka berminat untuk terus menjawab soalan-soalan itu sehingga selesai. Galakan dan pujian harus diberikan terutama murid yang lemah jika ada sedikit pencapaian, guru perlu membuat pembetulan perkara-perkara yang salah dan berikan sedikit markah bagi jawapan tersebut, supaya murid berkenaan merasakan ada peningkatan dalam diri mereka.

Pemulihan, Pengukuhan dan Pengayaan

Bagi memastikan pencapaian murid terus meningkatkan prestasi maka perlu diadakan program pemulihan, pengukuhan dan pengayaan. Program ini boleh dilaksanakan di masa pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah, guru perlu mengenal pasti murid yang masih tidak menguasai topik berkenaan kemudian diberi pemulihan segera, jika tiada kesempatan, program itu perlu dilanjutkan di luar bilik darjah iaitu semasa lapang atau di luar waktu persekolahan.

Program pengukuhan dan pengayaan boleh dilaksanakan dari masa ke semasa melalui kelas-kelas tambahan atau tugasan tambahan yang diberikan kepada murid untuk diselesaikan secara individu atau kelompok. Penekanan secara lebih intensif dilaksanakan sebulan sebelum peperiksaan percubaan. Selepas peperiksaan percubaan guru membuat analisa keputusan untuk melihat kelemahan dan kekuatan murid kemudian tindakan susulan dijalankan bagi membantu meningkatkan kemahiran.

Penutup

Kejayaan seseorang guru dalam usaha untuk meningkatkan prestasi murid tidaklah semata-mata bergantung kepada kemahiran menggunakan teknik dan kaedah pengajaran yang pelbagai sahaja. Keberkesanan pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah juga berkait rapat dengan kefahaman guru tentang peranan mereka yang sebenar, personaliti, keperibadian, kewibaan dan kesungguhan yang ditonjolkan, kebijaksanaan menawan hati budi murid, sifat pengorbanan dan keikhlasan, di samping perancangan yang teliti dan menyeluruh.

Pemantauan dan penyeliaan yang berterusan serta melakukan refleksi bagi tujuan pemulihan, pengukuhan dan pengayaan merupakan usaha-usaha dilakukan semasa dan selepas aktiviti pengajaran dan pembelajaran dalam konsep hari ini lebih baik dari semalam dan esok lebih baik dari hari ini.

Kajian tindakan atau soal selidik boleh dilakukan oleh guru sebagai asas untuk tindakan yang lebih berkesan ke arah peningkatan prestasi murid. Perkongsian bijak dengan rakan-rakan panitia juga salah satu langkah ke arah memeperkasakan pengajaran dan dan pembelajaran. Bagi melaksanakan tugas yang mencabar ini, guru tidak perlu mengeluh dan merasa kecewa jika usaha-usaha yang dijalankan menemui kegagalan. Usaha dan ikhtiar yang berterusan mengikut pendekatan-pendekatan yang difikirkan wajar hasil daripada kreativiti dan innovasi serta komitmen guru yang tinggi. Kepuasan bagi seorang itu ialah apabila ramai murid yang diajar mencapai kejayaan. InsyaAllah dengan doa dan harapan, usaha yang disertaikan dengan niat yang ikhlas kerana Allah akan mendapat keberkatanNya jua.

Guru di awal gurulah di akhir

Read more...

Langkah Mula Kelas Tasmik SK Jabi 2009

>> Selasa, 20 Januari 2009


Beginilah suasana kelas tasmik SK Jabi. Walau pun serba kekurangan kelas tasmik tetap dijalankan (kelihatan di sebelah Cik Shaliza Binti Saad sedang mengendalikan kelas Tasmik untuk murid-murid Tahun 2). Kebiasaannya kelas tasmik dijalankan di kafeteria sekolah. Namun jika kafeteria digunakan untuk program-program tertentu kelas tasmik akan berubah tempat ke makmal ICT.

Pada tahun ini kelas tasmik Tahun 1, Tahun 2 dan Tahun 3 masing-masing dijalankan pada hari Ahad, Selasa dan Rabu bermula pada pukul 12.15 hingga pukul 1.15 petang. Manakala kelas tasmik untuk Tahun 4 pula dijalankan pada hari Khamis dari pukul 1.15 hingga pukul 2.15 petang.

Beberapa pembaharuan telah dibuat untuk meningkatkan lagi keberkesanan pelaksanaan kelas tasmik seperti penyediaan buku rekod bacaan murid yang lebih teratur dan kemas kepada setiap orang guru pembimbing, kemudahan pembelian buku iqra', pembentukan kumpulan-kumpulan kecil yang diketuai oleh murid turus (yang mahir bacaan) dan hadiah galakan (penanda buku) kepada murid yang dapat menghabiskan setiap satu buku iqra' (buku 1 hingga buku 6).

Kepada guru-guru Pendidikan Islam (GPI) yang sudi membantu kami melaksanakan kelas tasmik ini jazakumullahu khairan jaza' diucapkan. Semoga kelas tasmik yang dijalankan pada tahun ini lebih berjaya dari tahun-tahun sebelumnya.

Read more...

Menjunjung Kasih : Ulangtahun Keputeraan Sultan Kedah ke-81

>> Ahad, 18 Januari 2009


KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA
AL SULTAN ALMU'TASIMU BILLAHI MUHIBBUDDIN
TUANKU ALHAJ ABDUL HALIM MU'ADZAM SHAH IBNI
ALMARHUM SULTAN BADLISHAH

D.K., D.K.H., D.K.M., D.M.N., D.U.K., D.M.K., D.K. (Kelantan), D.K. (Pahang), D.K. (Selangor), D.K. (Perlis), D.K. (Negeri Sembilan), D.K. (Johor), D.K. (Terengganu), D.K. (Perak), D.K. (Brunei), D.P. (Sarawak), D.U.N.M., S.P.M.K., S.S.D.K., D.H.M.S., D.G.M.K., Grand Cordon of The Order of the Rising Sun of Japan, Bintang Maha Putra Adiprana (Indonesia), Order of the Rammata Thailand, Honourable Knight Grand Cross Order of the Bath of U.K., Asso. Knight Order of St. John.


SULTAN NEGERI KEDAH DARUL AMAN


Unit j-QAF SK Jabi menjunjung kasih Kebawah Duli Yang Maha Tuanku Sultan Kedah diatas ulangtahun keputeraan baginda tuanku yang ke-81. Kami mendoakan agar Allah SWT mengurniakan kesihatan yang berpanjangan dan melanjutkan usia tuanku. Semoga Negeri Kedah terus makmur dan sejahtera di bawah pemerintahan tuanku.

Read more...

Kursus Badan Pengawas, Pustakawan dan Ketua Kelas SK Jabi

>> Sabtu, 17 Januari 2009

Hari ini SK Jabi telah mengadakan Kursus Badan Pengawas, Pustakawan dan Ketua Kelas bertempat di Kem Cikgu Mad Din, Jalan Naka. Program bermula pada pukul 8.30 pagi dan berakhir pada pukul 1.30 petang. Antara pengisian program ini ialah slot motivasi yang telah disampaikan oleh Encik Azhar yang merupakan kaunselor dari Kolej Sultan Abdul Hamid, (KSAH) bengkel bacaan doa yang dikendalikan oleh Encik Ahmad Bin Hassan* dan bengkel pengacaraan majlis menggunakan teks bahasa arab yang dikendalikan oleh Puan Faridah Binti Aziz. Program ini telah berjaya memberikan impak yang positif ke arah mempertingkatkan lagi jati diri dan mengembangkan kemahiran serta bakat kepimpinan peserta.

*Pada masa yang sama Encik Ahmad Bin Hassan sepatutnya menghadiri mesyuarat AJK PIBG bertempat di Kafeteria SK Jabi. Namun atas arahan pentadbir Encik Ahmad diminta mengutamakan kursus ini. Antara maklumat hasil mesyuarat yang diterima ialah pihak PIBG akan mengadakan Majlis Bacaan Yasin Perdana bersama para waris pada setiap bulan. Program qiyamullail akan diteruskan seperti tahun-tahun lepas.

Read more...

Dana Untuk Gaza

>> Jumaat, 16 Januari 2009

Unit j-QAF menyeru kepada semua individu, badan-badan kerajaan, badan-badan bukan kerajaan, badan-badan korporat, syarikat-syarikat swasta atau sesiapa jua yang prihatin kepada nasib penduduk Gaza agar menyalurkan sumbangan anda melalui saluran berikut :

  1. NSTP - No. akaun Maybank 514105-320501 (Klik di sini)
  2. Yayasan Salam Malaysia - No. akaun Public Bank 3072879302 (Klik di sini)
  3. Tabung Kemanusiaan Harakah - No. akaun Bank Islam 14069010021298 (Klik di sini)
Semoga segala sumbangan yang diberikan akan dibalas dengan kebaikan oleh Allah SWT.

Read more...

Jom Pakat Boikot Produk Israel!



Merujuk kepada artikel yang ditulis oleh Unit j-QAF bertajuk "Palestin Oh Palestin..." bertarikh 29 Disember 2008 kami ingin melanjutkan seruan pemboikotan ke atas produk keluaran Israel. Ayuh! buktikan rasa keimanan dan simpati anda kepada saudara kita di Gaza dengan memboikot produk-produk Yahudi LaknatulLah ini. Sabda Nabi Muhammad SAW yang bermaksud : "Sesiapa diantara kamu yang melihat kemungkaran maka ubahlah dengan tangan, jika tidak mampu ubahlah dengan lisan (kata-kata), jika tidak mampu ubahlah dengan hati. Maka yang demikian itu (merubah kemungkaran dengan hati) adalah selemah-lemah iman". Sabda nabi lagi yang bermaksud : "Tidak beriman seseorang itu sehingga dia mengasihi saudaranya seperti mana dia mengasihi dirinya sendiri".

Read more...

Pelantikan Baru Pegawai SPI JPN Kedah

>> Ahad, 11 Januari 2009


Tahniah kepada Ustaz Somad Bin Abdullah (gambar) diatas pelantikan sebagai Penolong Pengarah Kanan j-QAF, Unit Pengurusan Pendidikan Islam, Sektor Pendidikan Islam, JPN Kedah. Tahniah juga kepada Ustaz Mohd Imran Bin Yusuf yang dilantik sebagai Penolong Pengarah Pendidikan Islam (Elektif), Unit Pengurusan Pendidikan Islam, Puan Nafisah Binti Salleh (Penolong Pengarah Pengurusan Akademik, Unit Pengurusan Institusi Pendidikan Agama) dan Ustaz Pisal Bin Abu Sepian (Penolong Pengarah Kanan Pengurusan Kepimpinan, Unit Operasi Dakwah). Perlantikan mereka berkuatkuasa secara rasmi hari ini.

Read more...

Pesanan Penting Daripada Syeikh Hasan Nasrallah

>> Sabtu, 10 Januari 2009


"Pemimpin Hizbullah Lubnan; Syeikh Hasan Nasrallah meminta seluruh muslim membaca surah Al Fath ayat 26 - 27, surah Yunus ayat 85, 86 dan 88 pada malam ini. Tolong sebarkan agar Israel hancur. Saudara seagama kita di sana sedang dikepung dan menunggu masa sahaja untuk "disembelih". Keadaan amat dahsyat. Hanya ini saja jihad yang mampu kita lakukan. Minta tolong sangat-sangat kepada sahabat-sahabat agar sebarkan seramai mungkin."

Begitulah kandungan SMS yang baru diterima sebentar tadi yang mengajak kita sama-sama bermunajat memohon pertolongan Allah kepada saudara-saudara kita di Gaza. Kita mungkin boleh meragui kandungan mesej ini samada betul atau sengaja direka-reka. Sekiranya betul dan walau pun Syeikh Hasan Nasrallah berbeza ideologi mazhab dengan kita namun apa salahnya kita meluangkan masa merendah diri memohon ke hadrat Allah agar diberi kekuatan dan pertolongan kepada saudara-saudara kita bagi menghadapi kebiadapan dan kezaliman yang dicetuskan oleh Yahudi Laknatullah ini. Ayuh, lakukanlah!

Read more...

Patah Tumbuh, Hilang Berganti...

Masih belum terlambat rasanya untuk kami mengucapkan selamat berpisah kepada Puan Rohayati Binti Ahmad yang telah bertukar ke salah sebuah sekolah di Jitra. Jasamu sentiasa dikenang. Bak kata pepatah, "Patah Tumbuh, Hilang Berganti". Justeru diucapkan selamat datang kepada warga baru SK Jabi; Sajaratun Nazriah Binti Mahamud daripada SK Nawa, Encik Syazril Azril Bin Yahya daripada SK Taman Jelutung dan Puan Rodziah Binti Yaakob daripada SJK (T) Barathy. Moga-moga dengan kedatangan kalian dapat mempertingkatkan lagi kejayaan dan kecemerlangan akademik SK Jabi.

Read more...

Mesyuarat Induk Hal Ehwal Murid (HEM) Kali Pertama

Hari ini Mesyuarat Induk Hal Ehwal Murid (HEM) kali pertama telah diadakan di makmal ICT SK Jabi. En. Ahmad Bin Hassan yang diberi tanggungjawab untuk menggerakkan Kelab Pendidikan Pencegahan Dadah (PPDa) adalah antara sepuluh unit dan kelab yang bernaung di bawah HEM terlibat dengan mesyuarat ini. Banyak info dan maklumat telah disampaikan oleh Puan Rohana Binti Luxamana selaku Penolong Kanan HEM SK Jabi.

Selepas ini semua unit dan kelab termasuk Kelab PPDa akan bermesyuarat bersama ahli jawatankuasa masing-masing bagi merancang aktiviti yang akan dilaksanakan sepanjang tahun ini. Besar kemungkinan kelab ini akan bergabung dengan Kelab Pencegahan Jenayah dalam menjayakan sesuatu aktiviti seperti program ceramah dan lawatan demi manfaat murid-murid SK Jabi.

Read more...

Lembaran Baru SK Jabi 2009

>> Jumaat, 9 Januari 2009

Hampir seminggu lamanya blog ini tidak dikemaskini dek kesibukan tugas pada minggu pertama persekolahan. Seperti sekolah-sekolah lain, hari pertama persekolahan di SK Jabi menyaksikan pemantauan yang telah sempurna dijalankan oleh Encik Amry Bin Abd. Latib @ Omar; Pegawai Khas Maklumat, Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Kota Setar.

Secara keseluruhannya, sesi persekolahan SK Jabi sepanjang minggu ini berjalan dengan baik dan lancar tanpa sebarang masalah kecuali terdapat beberapa perubahan kecil yang melibatkan penjadualan waktu mengajar. En. Ahmad Bin Hassan yang sebelum ini dijadualkan mengajar pada sesi petang telah diberi tanggungjawab untuk mengajar di 2 sesi (sesi pagi dan sesi petang) menggantikan Cik Nor Azlina Binti Daud. Ini berikutan permintaan daripada pentadbir sekolah yang mahukan Encik Ahmad membantu melaksanakan program-program kerohanian untuk murid-murid Tahun 6 yang akan mengambil peperiksaan UPSR pada tahun ini. Berikutan itu juga, tanggungjawab sebagai guru kelas Tahun 2 Berkat telah diambil alih oleh Puan Norini Binti Ahmad.

Proses penyusunan jadual waktu mengajar sememangnya merumitkan lebih-lebih lagi jika dibuat secara manual. Sesebuah jadual waktu mengajar yang baik perlu mengandungi beberapa masa senggang supaya guru dapat membuat persediaan secukupnya sebelum memulakan pengajaran dan pembelajaran (P&P) berikutnya. Justeru, Unit j-QAF SK Jabi ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada pihak sekolah yang prihatin mengenai penjadualan waktu mengajar guru-guru j-QAF. Ini kerana persekolahan 2 sesi sedikit sebanyak memberikan kesan kepada kami apatah lagi pelaksanaan j-QAF di sekolah ini yang memasuki tahun ke 4 menuntut lebih banyak perhatian dan tanggungjawab. Dalam masa yang sama juga salah seorang daripada kami (Cik Shaliza Binti Saad) akan menempuh praktikum tidak lama lagi.

Dalam perkembangan yang lain pihak sekolah menjangkakan kemungkinan terdapat perubahan bilangan kelas Tahun 4 dalam masa yang terdekat. Walau apa pun yang berlaku kami tetap optimis dan mengharapkan pihak sekolah dapat menangani apa jua masalah khususnya yang berkaitan dengan jadual waktu mengajar dengan baik dan saksama.

Sebelum kalam ditangguhkan buat seketika, Unit j-QAF sekali lagi ingin mengambil kesempatan mengucapkan tahniah kepada semua guru dan warga kerja SK Jabi kerana berjaya menguruskan minggu pertama persekolahan dengan baik. Semoga senario seperti ini dapat dikekalkan pada masa-masa akan datang.

Read more...

Mesyuarat Guru SK Jabi Kali Pertama

>> Khamis, 1 Januari 2009

Mesyuarat Guru SK Jabi kali pertama untuk sesi persekolahan 2009 yang tertangguh sejak 2 hari lepas telah sempurna diadakan pada hari ini. Mesyuarat bermula pada pukul 9.00 pagi. Guru Besar dalam ucapannya banyak menekankan aspek kesepaduan dan kerjasama diantara semua guru bagi menjayakan setiap perancangan dan aktiviti sepanjang tahun 2009. Antara maklumat-maklumat yang disampaikan oleh Puan Guru Besar adalah :

  • Penolong Kanan Kokurikulum; Puan Che Embut Binti Hj Abdullah yang baru sebulan bertugas di sekolah ini telah bertukar ke SK Alor Binjal
  • Pemantauan daripada jabatan akan dijalankan pada minggu pertama persekolahan
  • Kutipan yuran murid ditangguhkan hingga ke suatu masa yang akan diberitahu kemudian
  • Bangunan baru asrama dan blok akademik RESOS (murid-murid yang mempunyai masalah penglihatan) dijangka siap sepenuhnya pada akhir bulan Februari akan datang
  • Bangunan lama RESOS akan dijadikan Pusat Kegiatan Guru (PKG) Pokok Sena
  • Buat masa sekarang hanya murid-murid RESOS sahaja akan ditempatkan di asrama kerana masalah kekurangan tempat. Walau bagaimana pun apabila bangunan baru asrama siap, seramai 104 orang murid dijangka akan ditempatkan di asrama ini.
Seperti tahun lepas sesi persekolahan masih dijalankan dalam 2 sesi iaitu sesi pagi untuk murid-murid Tahap 2 dan sesi petang untuk murid-murid Tahap 1. Buat pertama kali 2 orang guru j-QAF iaitu Puan Faridah Binti Aziz dan Cik Norazlina Binti Daud akan mengajar pada sesi pagi dan sesi petang memandangkan Tahun 4 yang terlibat dengan pelaksanaan program j-QAF dijalankan pada sebelah pagi. Tahun ini juga melihat kepada pertambahan beberapa bilangan tugas yang terpaksa dipikul oleh guru-guru j-QAF diantaranya ialah :

1. Encik Ahmad Bin Hassan
  • Guru kelas 2 Berkat
  • AJK Panitia Agama Islam
  • AJK Unit SPBT
  • AJK Unit Kesihatan, Keselamatan dan Keceriaan (3K)
  • Setiausaha Kelab Pendidikan Pencegahan Dadah (PPDa)
  • AJK Majlis Sukan Sekolah
  • Ketua Rumah Merah
  • Guru Penasihat Pengakap
  • Guru Penasihat Persatuan Agama Islam
  • Jurulatih Pasukan Tilawah Al Quran
2. Puan Faridah Binti Aziz
  • Setiausaha Panitia Agama Islam
  • Penolong Setiausaha Kelab Pendidikan Pencegahan Dadah (PPDa)
  • Guru Penasihat Persatuan Agama Islam
  • Guru Penasihat Rumah Hijau
  • Jurulatih Pasukan Tilawah Al Quran
  • Jurulatih Pasukan Nasyid
3. Cik Nor Azlina Binti Daud
  • Guru kelas 3 Berkat
  • AJK Panitia Agama Islam
  • AJK Unit SPBT
  • AJK Unit Kesihatan, Keselamatan dan Keceriaan (3K)
  • AJK Pusat Sumber Sekolah
  • AJK Unit SPBT / Susu Sekolah / Kafeteria
  • Guru Penasihat Tunas Kadet Remaja Sekolah (TKRS)
  • Guru Penasihat Rumah Biru
  • Jurulatih Pasukan Nasyid
4. Cik Shaliza Binti Daud
  • AJK Panitia Agama Islam
  • AJK Unit Bimbingan dan Kaunseling
  • Guru Penasihat Rumah Kuning
Semoga guru-guru j-QAF dapat menjalankan tugas-tugas yang telah diamanahkan ini dengan baik dan mencapai objektif seperti yang diharapkan.

Read more...

  © Blogger templates Shiny by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP