Link Within

Blog Widget by LinkWithin

Palestin Oh Palestin...

>> Isnin, 29 Disember 2008


Sedih, geram, marah dan bermacam-macam lagi perasaan bercampur-baur apabila pagi ini saya membaca berita perkembangan terkini pergolakan di Palestin [klik di sini untuk paparan berita penuh Utusan Online]. Rasanya tidak perlulah saya mengulas panjang kerana masing-masing dapat mengagak apa sebenarnya yang berlaku. Mengarang artikel panjang untuk berkongsi rasa sedih dan simpati yang meruntun jiwa atau sekadar untuk berkongsi rasa marah, maki dan dendam hanya membuang masa dan tidak berfaedah. Sebaliknya usaha yang proaktif harus difikir dan digembleng bersama demi membela nasib saudara-saudara kita yang dizalimi.

Senario semasa menunjukkan bahawa kita tidak mampu untuk berperang dan mengangkat senjata memerangi Zionis. Justeru, sudah sampai masanya umat Islam meyahut seruan Dr. Yusoff Al Qardawi agar memboikot produk-produk keluaran Israel [klik di sini untuk mengetahui produk-produk keluaran Israel] dan sekutunya seperti Amerika dan Britain. Cara ini dilihat paling ampuh dan berkesan untuk kita melumpuhkan ekonomi mereka. Biar mereka merasai bahang kekuatan kita. Kita tukarkan buih-buih dilaut menjadi gelombang Tsunami yang membinasakan mereka. Kita sama sekali takkan kebuluran atau menjadi papa kedana jika kita tidak membeli atau menjual produk mereka kerana masih banyak lagi pilihan produk tempatan dan keluaran muslim yang boleh kita gunakan. Harus diingat bahawa hasil keuntungan produk-produk keluaran Israel yang kita beli akan digunakan untuk menindas dan membunuh rakyat Palestin yang tidak berdosa.

Usahlah mencemuh atau memaki hamun pemimpin-pemimpin Arab kerana hakikatnya kita sendiri tidak bersatu-padu dan berpecah belah. Pupuklah perpaduan dan elakkan persengketaan agar kita dapat berdiri teguh sehingga tidak dapat dipijak-pijak oleh musuh-musuh Islam sewenang-wenangnya.

Sebagai pendidik kita seharusnya menggunakan medan ini untuk berjihad sepenuhnya. Jihad dalam erti kata bersungguh-sungguh mendidik anak bangsa agar menjadi generasi yang berilmu dan mempunyai penghayatan Islam yang jitu dan padu. Sejarah membuktikan hanya ilmu dan pekerti yang luhur sahaja akan menjadikan kita bangsa yang maju dan berjaya.

Isu yang diketengahkan ini mungkin agak basi dan tidak menarik perhatian untuk dibaca. Namun sedikit sebanyak diharapkan agar artikel ini dapat menyuntik kesedaran dan semangat buat kita semua. Pugarkan kembali rantaian-rantaian doa untuk saudara seIslam kita di sana agar sentiasa tabah mengharungi mehnah dan tribulasi serta diberi pertolongan oleh Allah SWT. Semoga suatu hari nanti kita akan beroleh kemenangan yang hakiki...


0 ulasan:

  © Blogger templates Shiny by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP