Link Within

Blog Widget by LinkWithin

Namakan anak anda dengan sebaik-baik nama...

>> Selasa, 16 Disember 2008


Sifat manusia sukakan nama-nama yang cantik dan indah hingga adakalanya mengkesampingkan makna yang tersirat disebalik nama-nama tersebut. Ada yang secara tidak sengaja menamakan anak mereka Awang (tiada makna dalam kamus Arab), Zani (penzina lelaki), Zaniah (penzina perempuan), Watie (xxx), Zibalah (plastik sampah), Azar @ Azril @ Azrul (nama ayah Nabi Ibrahim si pembuat patung berhala) sedangkan nabi kita sudah berpesan agar namakan anak dengan nama yang baik-baik kerana nama tersebut akan dipanggil semasa berada di Padang Mahsyar nanti. Sementelahan lagi apabila ibu, bapa malah sesiapa sahaja memanggil anak dengan panggilan yang baik, secara tidak langsung mereka mendoakan anak tersebut. Itu pun jika nama tersebut dipanggil penuh. Jangan pula Ahmad dipanggil Mad. Hilang maknanya.

Terdapat satu hadith seingat saya nabi bersabda: "Nama yang paling disukai Allah adalah Abdullah dan Abdul Rahman dan yang paling baik adalah Hamam dan Harith" (au kama qal). Mutakhir ini kita sering mendengar nama-nama yang agak bombastik seperti Mikhail, Danish, Danny, Maria, Sofea dan sebagainya. Dr. Abdullah Nasih Ulwan (seorang tokoh ilmuan dan pemikir Islam) dalam tulisannya melarang kita menamakan anak dengan nama-nama sebegini kerana ada tasyabuh atau persamaan dengan nama orang-orang kafir (Untuk makluman, nama-nama ini amat disukai oleh Arab Kristian khususnya di Mesir). Alangkah eloknya jika kita namakan anak-anak kita seperti nama-nama para nabi, sahabat, solafus soleh, para mujahidin dan syuhada' moga-moga dengan keberkatan nama tersebut anak-anak kita dapat mengikut jejak langkah mereka dan menjadi sebaik mereka.

Sebelum hendak menamakan anak elok rujuk dahulu kepada ustaz, ustazah atau sesiapa sahaja yang lebih mengetahui untuk dipastikan ejaan, makna dan nahu arabnya (jika nama tersebut berangkai dan panjang) supaya tidak tersilap. Jangan sesekali menamakan anak dengan nama Aziz (atau apa sahaja nama-nama daripada asmaul husna) kerana hanya Allah sahaja sesuai dinamakan begitu. Sebaliknya namakanlah anak dengan meletakkan Abdul di pangkal seperti Abdul Aziz, Abdul Rahim, Abdul Razak dan sebagainya. Lagi satu seperti yang nabi pesan jangan letak nama yang ada isim tafdil seperti Aflah (Yang paling berjaya) takut-takut timbul fitnah dikemudian hari.

Dalam pengamatan saya, saya melihat kebanyakan nama-nama para nabi, sahabat dan salafus soleh terdiri daripada nama tunggal seperti Adam, Salleh, Isa, Musa, Yusof, Umar, Uthman, Ali, Mu'adz (kebetulan nama anak saya juga), Zaid, Handzalah dan sebagainya. Selain itu terdapat juga nama yang terdiri daripada dua rangkai nama (idofat) seperti Zulkifli dan Abdul Rahman. Jarang pula saya mendengar nama-nama golongan ini yang panjang-panjang kecuali kunniah, laqab atau gelaran yang diletakkan di hujung nama seperti Al Qardhawi, An Nawawi, At Tantawi dan sebagainya.

Wallahu taala a'lam bissowab...

* Saya dalam artikel ini merujuk kepada En. Ahmad Bin Hassan; guru j-QAF SK Jabi
* Artikel ini adalah respon/komen terhadap artikel yang dicatat oleh GPI SKSV bertajuk "Namakan anak anda sebaik-baiknya... dan ejaannya". Bacaan lanjut di http://sksv.blogspot.com/2008/12/namakan-anak-anda-sebaik-baiknya-dan.html

0 ulasan:

  © Blogger templates Shiny by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP