Link Within

Blog Widget by LinkWithin

Lepasan SPM, STAM Jadi Guru j-QAF

>> Isnin, 30 November 2009

PUTRAJAYA: Kementerian Pelajaran membuka ruang kepada lebih ramai lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) mengikuti kursus Ijazah Sarjana Muda Pendidikan di Institut Pendidikan Guru (IPG) bagi mengatasi masalah kekurangan guru Jawi, al-Quran, bahasa Arab dan Fardu Ain (j-QAF) di seluruh negara.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi, berkata ini penting kerana sasaran awal kementerian untuk melahirkan lebih 32,000 guru j-QAF bagi memenuhi keperluan 6,314 sekolah rendah di seluruh negara, menjelang 2010.

Beliau berkata, kini hanya kira-kira 13,000 guru j-QAF sedang berkhidmat di 4,732 sekolah rendah di seluruh negara.

"Masalah kekurangan guru agama menjadi semakin serius apabila kita mula melaksanakan pembelajaran j-QAF pada peringkat sekolah menengah di seluruh negara, pada tahun depan.

"Biasanya guru j-QAF kita ambil adalah terdiri pemegang ijazah pertama daripada Universiti al-Azhar dan Jordan tetapi sekarang kita ada masalah kerana kekurangan guru agama yang semakin kritikal terutama di kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Majlis Konvokesyen Berpusat Kursus Perguruan Lepasan Ijazah j-QAF Keempat; Kursus Lepasan Ijazah Kursus Dalam Cuti Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (KDC SBK) dan Kursus Diploma Perguruan Malaysia Latihan Perguruan Berasaskan Sekolah (KDPM LPBS) di sini, semalam.

Mohd Puad berkata, Kementerian Pelajaran juga bercadang menambah bilangan IPG bagi melahirkan lebih ramai guru berkualiti, sekali gus dapat mengatasi masalah kekurangan tenaga pengajar terutama di kawasan pedalaman.

Pada masa sama, katanya, kementerian juga bercadang memperketatkan syarat kemasukan ke IPG bagi memastikan hanya mereka yang benar-benar komited dan berminat saja dipilih untuk menceburi kerjaya dalam bidang perguruan.

"Kita juga mungkin menimbang untuk mewujudkan 'akujanji' iaitu apabila seseorang dipilih menjadi guru, maka dia perlu sanggup bertugas di pedalaman termasuk Sabah dan Sarawak selama sekurang-kurangnya lima tahun," katanya.

Mohd Puad juga berkata, kementerian akan menubuhkan kelas khas di sekolah harian bagi membolehkan murid memperoleh keputusan 5A dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) menikmati suasana pembelajaran sama seperti di Sekolah Berasrama Penuh dan Maktab Rendah Sains Mara.

Sumber : Berita Harian

0 ulasan:

  © Blogger templates Shiny by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP