Link Within

Blog Widget by LinkWithin

j-QAF di sekolah menengah pula

>> Rabu, 28 Oktober 2009

KERAJAAN mengkaji kemungkinan program pengajaran Jawi, al-Quran dan Fardu Ain (j-QAF) diperkenalkan di sekolah menengah sebagai langkah memperluaskan lagi pembelajaran bidang terbabit, kata Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi.

Beliau berkata, setakat ini, prestasi murid yang mengikuti program j-QAF amat menggalakkan walaupun di kalangan kanak-kanak yang belum mencecah tahun enam.

“Data pencapaian seperti berikut, amali wuduk 98.97 peratus, amali solat bacaan 90.26 peratus, amali solat perlakuan 99.25 peratus, bahasa Arab 81.24 peratus dan jawi 89.87 peratus,” katanya, menjawab soalan tambahan Datuk Lilah Yasin (BN-Jempol) yang bertanya mengenai langkah kerajaan dalam meluaskan pembelajaran bahasa Arab di sekolah menengah, di Dewan Rakyat, semalam.

Katanya, kerajaan akan membina lebih banyak sekolah menengah kebangsaan agama kerana minat dan permintaan yang tinggi di kalangan ibu bapa untuk menghantar anak ke sekolah aliran agama.

Menjawab soalan asal Datuk Seri Abdul Hadi Awang (Pas-Marang), yang bertanya peruntukan kepada bidang pendidikan Islam dan bahasa Arab di Bahagian Perkembangan Kurikulum, Dr Mohd Puad berkata, kira-kira RM1.2 juta diperuntukkan untuk bidang terbabit tahun ini.

“Peruntukan kewangan untuk bidang pendidikan Islam dan bahasa Arab yang diagihkan Kementerian Pelajaran kepada Bahagian Perkembangan Kurikulum pada 2009 adalah sebanyak RM1.207 juta,” katanya.

Sumber : Harian Metro

0 ulasan:

  © Blogger templates Shiny by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP