Link Within

Blog Widget by LinkWithin

Tahniah : SK Jabi Ungguli Kejohanan Sukan dan Olahraga Pendidikan Khas Negeri Kedah

>> Isnin, 27 April 2009

SK Jabi sekali lagi melakar sejarah gemilang apabila berjaya menggondol 11 buah pingat daripada 30 buah pingat yang diperolehi oleh kontinjen Pendidikan Khas Kota Setar dalam Kejohanan Sukan dan Olahraga Pendidikan Khas Peringkat Negeri Kedah yang diadakan di Stadium Darulaman pada 22 - 23 April baru-baru ini.

Adik Muhammad Fikri Bin Abdul Ghani (gambar) yang dinobatkan sebagai Olahragawan Negeri berjaya meraih 3 pingat emas dan satu pingat gangsa. Manakala seorang lagi peserta SK Jabi iaitu Siti Nor Nazirah Binti Zainuddin telah dipilih sebagai tokoh Olahragawati Negeri setelah memenangi 2 pingat emas. Lain-lain keputusan adalah adik Muhammad Zahir Bin Zulkifli 3 emas, adik Muhammad Amiruddin Bin Abdullah 1 gangsa dan adik Norhafiza Binti Mat Lazim 2 gangsa. Mereka akan mewakili kontinjen Pendidikan Khas Negeri ke kejohanan peringkat kebangsaan yang akan diadakan di Johor tidak lama lagi.

Unit j-QAF mengucapkan sekalung tahniah kepada peserta-peserta yang berjaya. Semoga SK Jabi terus gemilang pada masa hadapan.

Read more...

Tahniah : Cikgu Shahril Menimang Cahaya Mata Kedua

Unit j-QAF SK Jabi mengucapkan tahniah kepada Encik Shahril Azri Bin Yahya (Cikgu Shahril) kerana menimang cahaya mata yang kedua baru-baru ini. Semoga dengan kehadiran cahaya mata ini akan menaikkan lagi semangat dan motivasi Cikgu Sharil untuk terus menyumbang bakti demi memajukan agama, bangsa dan negara.

Read more...

LDP : Pengurusan Stress


Bertempat di Dewan Seri Mutiara, Hospital (Lama) Alor Setar kursus Latihan Dalam Perkhidmatan (LDP) bertajuk "Pengurusan Stress" telah diadakan pada hari Sabtu, 25 April yang lepas. Kursus yang mengandungi 3 slot ini telah disampaikan sepenuhnya oleh pegawai-pegawai perubatan dan kesihatan, Jabatan Kesihatan Negeri Kedah. Pelbagai info dan teknik berguna untuk menangani stress telah dikongsi bersama dengan peserta-peserta kursus yang hadir. Secara ringkasnya program ini telah berjaya menepati objektif yang diharapkan.

Read more...

Majlis Bacaan Yasin Perdana & Ceramah Motivasi

Pada 23 April yang lepas Majlis Bacaan Yasin Perdana dan Ceramah Motivasi Anjuran PIBG telah diadakan di kafeteria SK Jabi. Slot ceramah motivasi bertajuk "Peranan Ibu Bapa Dalam Membentuk Kecemerlangan Diri Dan Sahsiah Kanak-Kanak" telah disampaikan oleh Puan Hajjah Nazrah Binti Yusuf; pensyarah di Institut Perguruan Darulaman (IPDA). Dalam ceramahnya beliau banyak menerapkan formula kerjasama-kasih dalam membentuk kecemerlangan diri anak-anak. Sambutan staf sekolah dan para waris pada program kali ini begitu menggalakkan. Majlis berakhir pada pukul 11.00 malam.

Read more...

Perubahan Jadual Kelas Tasmik SK Jabi

>> Selasa, 14 April 2009

Berikut adalah jadual terkini kelas tasmik SK Jabi :

  • Tahun 1 :Hari Ahad, masa 12.15 - 1.15 ptg
  • Tahun 2 :Hari Selasa, masa 12.15 - 1.15 ptg
  • Tahun 4 :Hari Rabu, masa 1.30 - 2.30 ptg
  • Tahun 3 :Hari Khamis, masa 12.15 - 1.15 ptg
Perubahan jadual ini dilakukan bagi memberi laluan kepada perjumpaan aktiviti kokurikulum yang dijalankan pada setiap hari Khamis sejurus selepas sesi persekolahan pagi ditamatkan (sebelum ini perjumpaan aktiviti kokurikulum dijalankan pada hari yang sama bermula pada pukul 4.00 petang). Justeru pada waris diminta menghantar anak ke kelas tasmik pada masa-masa yang telah ditetapkan. Harap maklum.

Read more...

Lagi Jawatan Baru Untuk Guru j-QAF SK Jabi

>> Khamis, 9 April 2009

Selang seminggu selepas 2 orang guru j-QAF; Encik Ahmad Bin Hassan dan Puan Faridah Binti Aziz diamanahkan sebagai Pemantau Kebersihan dan Keceriaan Kelas sekali lagi guru-guru j-QAF SK Jabi diberi kepercayaan untuk menganggotai Jawatankuasa ICT dan Data sekolah. Cik Nor Azlina telah dilantik sebagai setiausaha jawatankuasa, Puan Faridah dilantik sebagai penyelaras makmal ICT manakala Encik Ahmad diamanahkan untuk melaksanakan projek-projek khas ICT sekolah. Walaupun dibebani dengan beban tugas yang banyak guru-guru j-QAF SK Jabi akan berusaha sedaya upaya melaksanakan tugas-tugas yang diberikan sebaik mungkin demi memenuhi hasrat dan aspirasi sekolah.

Read more...

Tahniah : Adik Mohd. Muzaffar Bin Rosidi; Naib Johan Tilawah Al Quran Peringkat Daerah Kota Setar

>> Rabu, 1 April 2009

Masih belum terlambat rasanya untuk Unit j-QAF mengucapkan sekalung tahniah kepada adik Mohd. Muzaffar Bin Rosidi; murid Tahun 4 SK Jabi yang merangkul tempat kedua Tilawah Al Quran kategori sekolah rendah pada Karnival Pendidikan Islam Sekolah-Sekolah Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) Peringkat Daerah Kota Setar yang diadakan di SMK Pokok Sena pada 28 Mac yang lalu.

Kejayaan adik Muzaffar ini bukan sahaja mengharumkan nama sekolah tetapi juga membuktikan bahawa pelaksanaan program j-QAF yang dijalankan selama ini berjaya. Walaupun pada tahun ini SK Jabi tidak memenangi banyak acara sewaktu pertandingan peringkat PKG diadakan namun ia sedikit sebanyak dapat memberi pengalaman dan membina keyakinan kepada hampir 70% peserta yang terdiri daripada murid-murid Tahun 4. Semoga SK Jabi meraih kejayaan yang lebih gemilang pada masa-masa akan datang.

Read more...

Cikgu Anuar dan Cikgu Sulaiman : Jasa Kalian Sentiasa Dikenang

Unit j-QAF SK Jabi mengucapkan selamat berpisah dan selamat menjalankan tugas kepada Encik Anuar Bin Endut dan Encik Sulaiman Bin Hussin, kedua-duanya telah bertukar ke SK Wan Abd Samad, Pokok Sena, Kedah. Sesungguhnya warga SK Jabi telah kehilangan dua orang guru yang "mesra alam" (peramah dan penceria suasana), berhemah tinggi dan berdedikasi dalam setiap kerja buat yang diamanahkan. Jasa dan pengorbanan kalian pastinya akan sentiasa dikenang oleh seluruh warga SK Jabi sampai bila-bila.

Read more...

  © Blogger templates Shiny by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP