Link Within

Blog Widget by LinkWithin

Refleksi Pelaksanaan j-QAF SK Jabi 2008

>> Isnin, 24 November 2008

Sesi persekolahan 2008 telah seminggu melabuhkan tirai. Ketika ini semua orang asyik mengisi waktu cuti dengan agenda yang tersendiri; balik kampung, melancong, “mendirikan masjid”, menambahkan pengetahuan ikhtisas dengan menghadiri kursus, mengawas peperiksaan dan bermacam-macam lagi. Asalkan agenda yang diisi itu bermanfaat mafisy musykilah (tiada masalah). Namun sejenak harus difikirkan sejauh manakah keberkesanan dan pencapaian akademik murid khususnya yang mengikuti program j-QAF dapat dicapai sepanjang sesi persekolahan yang lalu? Sekiranya ada kekurangan apakah langkah terbaik untuk menutup kekurangan tersebut?


Sayugia kami kongsikan beberapa refleksi dan pencapaian yang dapat dicapai sepanjang tahun ini moga-moga dapat direnung dan memberi manfaat buat semua.

Pada tahun ini sesi persekolahan SK Jabi telah dipecahkan kepada dua sesi iaitu sesi pagi (Tahap 2) dan sesi petang (Tahap 1) lantaran beberapa buah blok akademik telah diroboh untuk digantikan dengan blok akademik yang baru dan lebih selesa. Hal yang demikian sedikit sebanyak memberi kesan terhadap kelancaran aktiviti yang ingin kami jalankan. Misalnya Kelas Tasmik terpaksa dijalankan di kantin dengan suasana yang agak kurang kondusif lebih-lebih lagi apabila murid-murid RMT sesi petang yang tidak terlibat dengan Kelas Tasmik berebut–rebut mengambil makanan seawal jam 12.30 tengah hari. Kem Bestari Solat pula kadang-kala terpaksa dilakukan di tempat yang sama - kantin (Gambar di atas menunjukkan murid-murid sedang menunaikan solat zohor secara berjamaah dalam program Kem Bestari Solat Siri 4 sepanjang Ramadhan yang lepas). Cabaran tersebut kami galas dengan sebaiknya bertepatan dengan motto kami seperti yang terpapar di atas, “Mendepani Cabaran Membentuk Generasi Masa Depan”. Murid-murid telah digalakkan menunaikan solat zohor dan solat asar di belakang kelas pada waktu rehat atau waktu senggang. Aktiviti ini sedikit sebanyak dapat mengukuhkan kefahaman murid terhadap solat disamping melancarkan tugas kami sebagai pendidik.

Pun begitu apa yang lebih merisaukan kami ialah pencapaian bacaan Iqra’ murid yang tidak menentu. Jika sekolah bercuti lama prestasi dan kualiti bacaan murid merudum jatuh. Ini disebabkan sikap sesetengah murid yang malas untuk meneruskan aktiviti bacaan di rumah dan sesetengahnya pula langsung tidak menghadiri kelas KAFA atau mengikuti bacaan dengan guru-guru Al Quran di kampung. Pendek kata, mereka bergantung sepenuhnya kepada kami.

Sikap sebilangan murid yang selalu ponteng Kelas Tasmik pula sering memeningkan kepala. Walau pun surat ponteng dan perjumpaan dengan waris telah dibuat keadaan tetap sama. Bukan maksud kami untuk menyalahkan sesiapa tetapi apa yang diharapkan adalah kesedaran dan penggembelengan usaha yang bersepadu diantara guru, murid dan ibu bapa yang akhirnya nanti menatijahkan kejayaan cemerlang kepada anak didik. Walau bagaimana pun kerisauan dan kegusaran kami itu sedikit terhakis apabila hasil analisis data bulan Oktober menunjukkan prestasi pelaksanaan j-QAF pada tahun ini melebihi 85% dan ianya merupakan prestasi terbaik kami setakat ini.


Kelihatan seorang murid sedang diraikan dalam Majlis Khatam Al Quran dan Anugerah Bestari Solat SK Jabi 2008

Lembaran 2009 yang bakal tiba diharapkan dapat memberi sinar baru kepada kami dalam meningkatkan lagi pencapaian dan prestasi murid. Justeru pelbagai usaha telah dan akan kami rancang bersama guru-guru Pendidikan Islam. Idea Puan Rusyipah Binti Nanyan selaku Ketua Panitia Pendidikan Islam untuk memberi hadiah galakan kepada murid apabila dapat menghabiskan bacaan Iqra’ harus diberi perhatian. Disamping itu majalah Celik j-QAF terbitan kami yang terbengkalai sejak sekian lama akan dipastikan penerbitannya. Usaha murni ini adalah semata-mata untuk memupuk biah solehah (suasana persekitaran yang baik) disamping meningkatkan pengetahuan, kefahaman dan penghayatan murid terhadap Pendidikan Islam itu sendiri.

Akhir kalam, terima kasih daun keladi diucapkan kepada guru-guru Pendidikan Islam khususnya guru-guru Pendidikan Islam sesi petang iaitu Puan Rusyipah Binti Nanyan dan Puan Adabiah Binti Abd. Ghani yang memberi sepenuh komitmen terhadap aktiviti-aktiviti yang kami jalankan. Hanya Allah sahaja yang dapat membalas jasa baik kalian. Apa yang baik itu datangnya daripada Allah, yang buruk itu datangnya daripada kelemahan kami sendiri, hakikatnya semuanya datang daripada Allah jua.

Read more...

  © Blogger templates Shiny by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP